Pendidikan FARDHU ‘AIN TERPADU

ILMU FARDHU AIN TERPADU
(Asas Kurikulum Pendidikan Islam)

MENDIDIK, kearah melahirkan hamba yang Takut Allah, Rindu Nabi, tidak sama di segi tujuan, isi dan kaedah pendidikannya berbanding MENGAJAR, kearah melahirkan ahli ilmu Islam. Hal ini sangat perlu dicermati dan dikenal pasti segala seginya oleh para pendidik Islam.

Ilmu yang diajarkan secara lepas-lepas cenderung kearah melahirkan orang alim yang menguasai ilmu secara mendalam tetapi tidak pandai beramal. Maka untuk melahirkan individu yang bertakwa, ilmu mesti diramu secara terpadu. Seterusnya langkah-langkah kegiatan, kaedah dan teknik pembelajaran mesti berorientasi kepada tujuan yang hendak dicapai.

Di dalam ajaran Islam, secara umum ILMU-ILMU ASAS yang penting itu dapat dikategorikan kepada tiga bagian:
1. Usuluddin (aqidah)
2. Fiqih (syariat)
3. Tasawuf (akhlak)

Dalam upaya mendidik dan memberikan bimbingan pengamalannya, setiap individu mestilah dibimbing untuk dapat melaksanakan secara serentak ketiga-tiga ilmu tadi. Baik dari segi teori mahupun praktik, atau dari segi ilmiah dan amaliahnya.

Tiga ilmu ini merupakan tiga serangkai yang tidak boleh dipisah-pisahkan. Kalau dipisah-pisahkan salah satu dari tiga serangkai itu, maka akibatnya rusaklah yang lainnya. Artinya amalan Islam itu menjadi sah apabila ketiga-tiga ilmu tersebut dilaksanakan sekaligus dan serentak. Ia tidak boleh diamalkan satu-satu saja tanpa yang lain. Ber‘fiqih’ saja atau ber‘usuluddin’ saja atau berakhlak saja, tentu akan merusakkan ke-Islaman seseorang. Jadi tiga serangkai ilmu ini tidak boleh dipisah-pisahkan dalam seluruh tindakan hidup. Kalau dipisahkan dalam pengamalan sehari-hari, paling tidak seseorang itu akan jadi orang fasiq. Bahkan berkemungkinan ia akan jatuh kepada kafir tanpa ia sadar.

Di segi pendidikan dan bimbingan beramal kearah melahirkan hamba yang Takut Allah Rindu nabi, ketiga-tiga ilmu itu tidak boleh dilakukan secara lepas-lepas. Ia mesti diramu secara sistematis dan praktis sehingga menjadi paket-paket didikan yang terpadu, mudah dipraktikkan dalam kehidupan dan berkesan kepada jiwa kearah melahirkan individu yang bertakwa.

Dari ketiga-tiga ilmu itu, tapak atau asasnya adalah ilmu usuluddin. Di atas tapak ilmu yang menjadi pegangan dan keyakinan setiap orang Islam itu, maka ditegakkan syariat (fiqih) dan akhlak (tasawuf). Kalau diibaratkan kepada sebuah bangunan, usuluddin itu adalah foundation. Bangunan rumah serta peralatan-peralatannya itulah syariat dan akhlak. Kalau begitu rumah dan peralatan rumah itu tidak dapat ditegakkan sekiranya foundation rumah tersebut tidak ada. Atau ia tidak kukuh dan tidak kuat. Justeru itu, dalam ajaran Islam:
1. Usuluddin itu adalah asas Islam atau tapak Islam.
2. Syariat dan tasawuf ialah furu’ dan cabang- cabangnya.
Kalau begitu, ilmu usuluddin dalam ajaran Islam amat penting dan utama. Kerana ia mengesahkan syariat dan akhlak. Syariat dan akhlak tidak ada nilai di sisi ALLAH, kalau aqidah atau usuluddinnya telah rusak.

Perkara-perkara yang berkaitan dengan ilmu usuluddin ialah:
1. Keyakinan kita dengan ALLAH dan sifat-sifat-Nya yang wajib, mustahil dan jaiz.
2. Keyakinan kita dengan para rasul dan sifat-sifatnya.
3. Keyakinan dengan kitab-kitab yang diturunkan oleh ALLAH seperti Al Quran, Zabur, Injil dan Taurat.
4. Keyakinan kepada para malaikat.
5. Keyakinan pada Qadha dan Qadar ALLAH.
6. Yakin kepada Syurga dan Neraka serta perkara-perkara lain yang merangkumi perkara Ghaib.

Maka ilmu usuluddin yang menjadi asas kepada ajaran Islam merupakan ilmu yang paling penting. Ia menjadi perkara utama dan pertama untuk setiap individu Islam yang mukallaf mempelajarinya. Inilah Ruh Pendidikan yang mesti menjiwai atau menjadi ruh bagi setiap bidang ptogram dan aspek didikan dalam sistem pendidilan Islam.

Belajar ilmu usuluddin ini hukumnya fardhu ain yakni wajib bagi setiap individu yang mukallaf. Bahkan jatuh kepada dosa besar bagi orang yang tidak mempelajarinya. Hatta boleh jatuh kufur secara tidak sedar kalau jahil tentang ilmu ini.

Ilmu usuluddin yang berkait dengan ALLAH dan sifat-sifat-Nya, kalau tidak dipelajari, paling mudah untuk menyebabkan terjatuh kepada kufur. Sebab itu dihukumkan wajib bagi setiap mukallaf mempelajarinya terlebih dahulu mendahului ilmu-ilmu yang lain. Dalam Hadis, Rasulullah SAW ada menyebut:
Terjemahannya: Awal-awal agama ialah mengenal ALLAH.
Oleh itu ilmu usuluddin itu tidak boleh dicuaikan dari mempelajarinya. Supaya ia dapat dijadikan pegangan dan keyakinan yang mantap (teguh) di hati. Tanpa dicelahi dengan unsur-unsur jahil, syak, zan dan waham. Sekiranya dicelahi oleh jahil, syak, zan dan waham, atau salah satu darinya, maka seluruh amal ibadah itu tidak sah atau tertolak. Artinya tidak dapat apa-apa di sisi ALLAH. Amalan itu hanya sia-sia sahaja. Walau bagaimana baik dan kemas sekalipun ibadah yang dipersembahkan pada ALLAH, sekiranya dicelahi oleh salah satu daripadanya, maka ibadah itu akan dicampak ke muka pengamalnya.

Mengikut kebiasaan, walaupun cantik amalan syariat atau akhlak, ia masih tetap bergantung kepada aqidah. Sekiranya aqidahnya baik, maka baiklah syariat dan akhlaknya. Tetapi kalau aqidahnya rosak, maka rosaklah syariat dan akhlaknya.
Tamsilannya seperti sebatang pokok. Kalau pokoknya subur, itu adalah kesan daripada akar tunjang yang kuat tadi. Yang menjadikan ianya berdaun, menghijau, menghasilkan bunga cantik dan harum mewangi serta buah yang banyak (lebat) lagi sedap rasanya. Sehingga menjadikan kepingin semua makhluk terutama manusia untuk mendekati dan bernaun’g di bawahnya serta mengambil manfaat darinya.
Begitulah juga bagi mereka yang aqidahnya baik, tentunya syariatnya jadi sempurna dan akhlaknya cantik. Semua hukum-hakam yang lima yakni yang wajib dan sunat dapat ditegakkan, yang haram dan makruh dapat dijauhi, dan yang mubah terserah kepada setiap individu hingga ia mencorak kehidupan individu dan masyarakat.

Di sinilah pentingnya pendidikan dan pembelajaran aqidah atau usuluddin ini, ia dapat mencorakkan hati seseorang. Sehingga yang lahir dalam tindakan adalah gambaran hatinya itu.
Alhasil, kalau sudah ramai yang aqidahnya tepat dan kuat, maka akan lahirlah negara yang aman makmur yang mendapat keampunan ALLAH. Kerana aqidah yang tepat dan kuat itu mendorong hamba-hamba-Nya bersyariat dan berakhlak atau menjadi orang-orang yang bertaqwa. Inilah kesan didikan yang benar dan tepat. Pendidikan dan pembelajaran terpadu yang dijiwai oleh ruh tauhid yang mantap. Bidang-bidang pembelajaran fardhu kifayah, sunnat dan mubah dibangunkan di atas dasar ini, untuk menyempurnakan dan mencatikkan bangungan Islam yang sesungguhnya memang sempurna dan cantik dalam setiap pribadi dan masyarakat.

Ampun ma’af, wabihi wallahu a’lam.

Iklan

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s